Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 19 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Pahang mempermudahkan urusan birokrasi bagi menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, lebih ramai pelabur akan tertarik untuk melabur di Pahang sekiranya urusan mereka dipermudah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Kerja ke tiga kilang di Bentong dan Lipis iaitu Kilang ND Paper, Kilang Pascorp Paper dan Kilang Ketech Asia.
Pada kunjungan itu, YB. Dato’ Mohamad Nizar berkesempatan melihat sendiri proses penghasilan kertas dan mendengar pelbagai permasalahan daripada pelabur ND Paper untuk diselesaikan.

“Lawatan sebegini penting sebab kita hendak dengar sendiri pencapaian kilang-kilang dan juga cabaran yang dihadapi, kalau ada cabaran yang dihadapi kita cuba selesaikan sebaik mungkin dengan bantuan agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah dan negeri yang sedia ada agar dapat memudahcarakan urusan para pelabur.
“Hendak menarik pelabur satu hal tetapi untuk kekalkan mereka kita perlu peka terhadap masalah atau cabaran yang mereka hadapi dan kita perlu selesaikan secepat mungkin dan sebaik mungkin agar mereka berpuas hati dan mewar-warkan kepada pelabur antarabangsa agar melabur di Negeri Pahang,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Pahang sangat komited menggalakkan lebih ramai pelabur masuk ke Pahang untuk mengembangkan lagi sektor industri di negeri ini yang dilihat dapat menyediakan ruang dan peluang yang cerah pada masa akan datang.
Pahang bukan sahaja bersaing secara sihat dalam sektor pelaburan di antara negeri-negeri lain di Malaysia malah juga di peringkat antarabangsa. – PAHANGMEDIA

