Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 14 FEBRUARI 2024 : Seorang penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Kampung Tanjung, Encik Zaimi Mat Raih, 42, berasa sangat gembira dan teruja apabila menjadi antara penerima RRP bertiang bagi DUN Chini.
Jelasnya, rumah pusaka yang diduduki lebih 40 tahun lalu kerap ditenggelami banjir setiap kali tiba musim tengkujuh sehinggakan isterinya pernah keguguran kerana terjatuh akibat terpijak lantai reput selepas bah.
“Sebenarnya saya memang tidak mempunyai rumah selama ini kerana rezeki daripada Allah dapatlah rumah rakyat pahang yang diberi oleh Kerajaan Negeri Pahang sebab kalau mengharap (bantuan) yang lain-lain susah juga hanya Kerajaan Negeri Pahang sahaja yang prihatin kepada rakyat-rakyat di Negeri Pahang.

“Saya rasa teruja dan amat bersyukurlah dengan adanya YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana prihatin kepada rakyat Negeri Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 3 Daerah Pekan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Encik Zaimi yang bekerja kampung kini dapat tinggal dengan selesa di rumah berkenaan bersama isteri dan lima anaknya tanpa perlu bimbang apabila banjir melanda. – PAHANGMEDIA

