Oleh : Fara Rosli
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2024 : Negeri Pahang bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi yang bakal berlangsung bermula 23 Mei hingga 28 Mei depan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau amat berbesar hati kerana Pahang telah dipilih dan diberi penghormatan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk penganjuran majlis yang berprestij tersebut yang dijangkakan berlangsung di Stadium SUKPA Indera Mahkota.
“Negeri Pahang akan memberikan kerjasama dan sokongan sepenuhnya bagi memastikan majlis pada kali ini dapat berjalan dengan lancar, mudah-mudahan segala usaha kita ini dapat meningkatkan syiar Islam di negara ini serta mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah S.W.T,” katanya.
Beliau berkata demikia pada sidang media selepas sesi Mesyuarat Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Dalam pada itu, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesudian untuk menerima jemputan dan menjadi tuan rumah bagi majlis tersebut tahun ini.
“Saya percaya dengan sokongan padu yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang, Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini akan berjaya dan cemerlang dan kita harapkan penganjuran tahun ini akan lebih baik daripada penganjuran yang lepas.
“Semoga dengan pengajuran ini memperkukuhkan lagi hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebab saya rasa dengan ikatan Quran itu, ikatannya lebih murni dan barakah,” katanya.
Sebanyak dua kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori Tilawah dan Kategori Hafazan melibatkan seramai 113 orang peserta yang mengambil bahagian.
Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini pernah menganjurkan dan menjadi tuan rumah bagi program sama pada tahun 2014. – PAHANGMEDIA

