Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LIPIS, 9 FEBRUARI 2024 : Kementerian Sumber Manusia menggalakkan usaha membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mereka yang bekerja sendiri seterusnya menyediakan jaminan dalam berhadapan sebarang kejadian tidak terduga.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, caruman Perkeso telah menjadi salah satu sandaran penting kepada kehidupan hari ini.
“Pertama sekali saya ingin ucapkan tahniah kepada Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana telah melancarkan pelbagai skim di dalam Perkeso.
“Saya secara peribadi sangat menggalakkan orang ramai mencarum dengan Perkeso, bukan hanya yang bermajikan tetapi juga usahawan tani, peniaga bazar Ramadan, peniaga kecil, pemandu sebenarnya semua boleh mencarum.
“Tidak perlu ada pekerja, mereka sendiri boleh mencarum dengan beberapa langkah-langkah yang ditetapkan.
Seandainya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini mereka atau waris boleh mendapat manfaat untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui media di sini.
Dalam pada itu perkara sama ditujukan kepada pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk wartawan khususnya “stringer” atau wartawan sambilan seperti yang disuarakanMenteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.
“Ini adalah untuk masa depan, bukan saja-saja kita buat caruman. Ada manfaat daripada Perkeso termasuk Pencen Ilat yang lebih menjamin keselamatan sosial pekerjaan.
“Contohnya jika suami meninggal dunia, jika layak isteri akan menerima pencen Ilat dan jumlah yang diberikan mampu menampung kehidupan dia dan anak-anak,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, pihak Kemeterian akan turun padang sendiri untuk dekati orang ramai dan memberi penerangan dan kesedaran tentang kepenting caruman Perkeso.
“Banyak kelebihan caruman Perkeso, selain Pencen Ilat, ada juga disediakan perlindungan dan rawatan untuk sakit kritikal sebagai contoh sakit strok. Kita sediakan Pusat Rehabilitasi untuk membantu memulihkan semula dengan pelbagai peralatan canggih dan kaedah khas yang digunakan.
“Kerajaan berhasrat untuk membina lebih banyak Pusat Rehabilitasi Perkeso di seluruh negara..sekarang kita ada di Melaka dan Cheras, manakala pusat di Perak pula hampir siap dan akan bina sebuah lagi pusat di Terengganu selain beberapa lokasi lain yang sedang dinilai sesuai,” katanya. -PAHANGMEDIA

