Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 01 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mengiktiraf daya kreativiti anak Pahang di dalam media sosial melalui pelaksanaan program Karya Anak Pahang.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, program ini juga dapat menjadi platform kepada anak Pahang untuk mempromosikan pelbagai keunikan di Negeri Pahang.
“Program khas Kerajaan Negeri Pahang yang dikenali sebagai Karya Anak Pahang adalah platform untuk kita mengiktiraf daya kreativiti pengamal media dari seluruh Negeri Pahang yang aktif dalam akaun media sosial sama ada di Facebook, Tiktok, Instagram, mahupun YouTube.
“Dalam masa yang sama, ia juga dapat mempromosi keunikan dan kepelbagaian budaya, kepercayaan, tempat-tempat menarik, flora dan fauna di negeri ini untuk manfaat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Karya Anak Pahang di Pejabat Unit Komunikasi Strategik Negeri PahangPahang di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, program ini juga secara tidak langsung dapat membentuk komuniti pemain sosial media yang luas dan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat di Pahang.
“Saya percaya Karya Anak Pahang ini mampu mengembleng pengamal media dari seluruh Negeri Pahang sekaligus berjaya membentuk komuniti media sosial Pahang yang besar. Ia akhirnya menyumbang kepada masyarakat dan negeri ini.
“Selain daripada kreativiti menghasilkan karya mengikut platform media sosial masing-masing, kita juga akan ada program-program khas dan sampingan untuk komuniti ini menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menganggarkan lebih 5,000 pemain media sosial di negeri ini akan menyertai tiga kategori dipertandingkan bermula esok.
“Komuniti media sosial di Pahang ini besar. Saya berharap sekurang-kurangnya lebih 5,000 pengiat media sosial akan terlibat melalui program Karya Anak Pahang ini.
“Sebab dari kategori umur, kita buka kepada mereka yang berusiq 15 tahun ke atas. Jadi ramai yang layak dan selama ini mereka memang dah berkarya mengikut cara dan kreativiti masing-masing, cuma kali ini kita mengajak mereka melalui platform Karya Anak Pahang,” katanya.
Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu video, gambar, dan penulisa yang dibuka kepada anak Pahang berumur 15 tahun ke atas dengan karya bertemakan perkara positif di Negeri Pahang.
Sebanyak 60 pemenang akan diumumkan setiap bulan bagi ketiga-tiga kategori dengan setiap pemenang akan mendapat RM100 dan boleh layari media sosial Karya Anak Pahang bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program ini. -PAHANGMEDIA

