Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
RAUB, 29 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memberi perhatian serius kepada pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri ini yang dilakukan dari masa ke semasa.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pelaksanaan projek penghutanan semula adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Pahang.
“Projek penghutanan semula ini sangat penting kerana ia bertujuan untuk memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di Negeri Pahang harus dipergiatkan dan dipertingkatkan daripada semasa ke semasa.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan hutan terutamanya bagi tujuan mengekalkan kawasan hutan di negeri ini.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk penghijauan yang mana hutan-hutan ini kita akan pelihara dan buat pemulihan supaya sesuai dengan konsep ESG,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Penghutanan Semula Dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Negeri Pahang Darul Makmur di Hutan Simpan Tersang hari ini.
Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Amat Bayu Sdn. Bhd., YH. Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Roslan Rani; dan Pegawai Daerah Raub, YBhg. Encik Khuzaidi Harun.
Beliau berkata penubuhan Projek Penghutanan Semula di Negeri Pahang telah bermula sejak tahun 2000 melibatkan kawasan seluas 404.69 hektar dan ia turut melibatkan kawasan tidak berhutan atau kawasan terosot yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akibat bencana alam atau penerokaan untuk pembangunan dipulihkan semula.
“Sehingga tahun 2023, keluasan Projek Penghutanan Semula telah meningkat kepada seluas 34,342.22 hektar. Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada tahun 2022 telah meluluskan Projek Perhutanan Semula di Negeri Pahang kepada Syarikat Amat Bayu Sdn. Bhd.
“Pada 20 Oktober lalu, Memorandum Perjanjian (MOA) telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Pahang yang diwakili oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Syarikat Amat Bayu Sdn. Bhd. untuk Projek Penghutanan Semula seluas 20,303.27 hektar di Negeri Pahang selama 60 tahun dan ia akan dilakukan secara berfasa,” katanya.
Sementara itu, menurut YH. Dato’ Ahmad Najmi, pihak Amat Bayu Sdn. Bhd. menyasarkan untuk menanam 180 juta pokok dalam tempoh 60 tahun bagi pelan jangka masa panjang projek berkenaan.
“Amat Bayu juga bertekad untuk memperoleh pensijilan PEFC (Programme for the Endorsement of Forest Certification) dengan
mengamalkan dan mematuhi piawaian atau standard alam sekitar dan sosial yang diiktaraf di peringkat antarabangsa.
“Saya juga ingin mengumumkan bahawa Amat Bayu telah merancang untuk menanam 5 juta pokok setahun di mana perancangan kami ini telah didaftarkan di Malaysia Book of Records bagi Penanaman Pokok Paling Banyak Dalam Masa Setahun,” katanya. -PAHANGMEDIA

