Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 27 JANUARI 2024 : Penganjuran Moh Karnival Makmur merupakan inisiatif Kerajaan Negeri merapatkan hubungan pemimpin dengan masyarakat setempat dan memberi manfaat terus kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menjayakan karnival ini yang akan dilaksanakan di setiap daerah di mana Lipis merupakan daerah pertama penganjuran.
“Alhamdulillah, tujuannya (Karnival Makmur) untuk kita beritahu kepada penduduk di daerah Lipis, memperkenalkan jualan-jualan meningkatkan (pendapatan usahawan), hari ini di karnival ini ada 50 usahawan.
Dalam masa yang sama mereka boleh bertukar-tukar fikiran dan dalam masa yang sama menambahkan ilmu (keusahawanan) lagi selain mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Moh Karnival Makmur 2024 peringkat daerah Lipis di Dataran Orang Kaya Haji, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal.
Turut hadir Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim dan pemimpin setempat.

Sementara itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, melalui Karnival Makmur ini pelbagai agensi kerajaan dapat jumpa terus penduduk di daerah Lipis ini.
“Saya dapati ini yang dikehendaki oleh rakyat dan rakyat di Pahang ini saya dapati gemar acara karnival. Contohnya melalui karnival tanah, ramai yang datang bayar hasil tanah bila ada kaunter yang disediakan.
“Kita juga akan pastikan rakyat negeri Pahang mengenali produk-produk kita sebab kita banyak sangat produk. Kadang-kadang orang luar pun boleh terkenal dengan produk kita, jadi kita di Pahang ni kena lebih dulu mengenali daripada orang di luar,” katanya.
Selain itu katanya, melalui karnival yang dijalankan juga rakyat boleh dapat tahu pelbagai maklumat termasuk usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri termasuk inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan bagi menjaga kebajikan rakyat.
Moh Karnival Makmur 2024 peringkat daerah Lipis berlangsung selama tiga hari bermula semalam dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk persembahan istimewa daripada artis terkenal yang juga merupakan anak jati Lipis, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Karnival dimeriahkan dengan 50 buah gerai jualan usahawan tempatan selain kaunter-kaunter agensi kerajaan yang dibuka bagi memudahkan urusan orang ramai seperti kaunter bayaran cukai tanah selain Jualan Rahmah, demo masakan tradisional daerah, cabutan bertuah dan pelbagai lagi aktiviti menarik. -PAHANGMEDIA

