Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 JANUARI 2024 : Kegigihan seorang ibu tunggal membina rumah sendiri sejak lebih setahun lalu mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pahang yang turut menyampaikan bantuan sebagai galakan kepadanya merealisasikan impian.
Puan Auni Hazwani Faizun, 32, dari Kampung Permatang Badak tidak menyangka dia tidak bersendirian dalam membina rumah impian untuk didiami bersama anak tunggalnya, Mumtazah ‘Atiyyah Wan Mohd Syafiq Ikhwan, 9.
“Saya rasa terharu dan gembira serta tidak sangka permohonan saya dapat kelulusan segera. Saya ingin berterima kasih kepada YB Fadzli Mohamad Kamal kerana dapatkan dana untuk saya meneruskan usaha (bina rumah) ini.
“Impian dah lama nak buat rumah sendiri tapi tak mampu kalau nak upah orang, jadi ia tercetus dari situ saya nekad nak buat rumah sendiri tak kisah apa yang berlaku asal saya dapat capai impian ini.
“Sekarang dah siap 40 peratus, target (sasaran rumah) siap hujung tahun ini tapi semuanya bergantung kepada modal dan kesihatan diri sebab buat seorang diri,” katanya ketika ditemui selepas menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal di tapak rumahnya di sini.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai usaha yang dilakukan mendapat perhatian meluas, pempengaruh di Tiktok ini tidak menyangka dia akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.
“Saya tak pernah terfikir akan menjadi inspirasi kepada orang lain dan tak jangka mendapat sokongan dan galakan daripada rakyat Malaysia dan juga dari luar negara.
“Bila saya tahu, saya cuba untuk kongsi tips dan sememangnya tiada alasan untuk kita tidak bekerja, hidup bermalasan dan memilih pekerjaan. Sebagai orang muda yang sihat dan ada tenaga, kita perlu gunakan sebaiknya,” katanya yang belajar membuat rumah melalui YouTube serta rancangan-rancangan televisyen.
Sementara itu, YB Fadzli yang ditemui berharap agar kecekalan wanita yang juga guru Al-Quran ini dicontohi semua terutamanya golongan anak muda.
“Bukan mudah bagi seorang ibu tunggal dengan seorang anak nak teruskan hidup dalam ekonomi yang tidak menentu, jadi Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan keadaan sebegini. Dia pula seorang pempengaruh di negeri Pahang jadi menjadi tanggungjawab saya juga untuk lawat dan tinjau keadaan mereka.
“Saya tahu dia bukan asalnya buat kerja berat tapi mungkin atas faktor nak kurangkan kos pembinaan rumahnya, beliau belajar di YouTube serta rancangan-rancangan televisyen bagaimana nak bina sebuah rumah,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kisah seorang wanita yang cekal untuk meneruskan hidup ini perlu dicontohi dan menjadi pemangkin semangat bagi mereka yang masih mencari hala tuju kehidupan.
“Kepada anak muda di luar sana yang masih duduk dalam zon selesa bolehlah contohi Wani ini yang boleh bangun lepas Subuh uruskan anak, kemudian buat rumah, kemudian pukul 2 petang sambung kerja hakiki sebagai guru Al-Quran pula.
“Jadi tiada alasan untuk kita terus bermalas-malasan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.. jadi contohilah benda yang baik oleh rakan-rakan kita di Tiktok dan berilah sokongan,” katanya. -PAHANGMEDIA