Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 19 JANUARI 2024 : Kerajaan Pahang meminta agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memantau proses pembinaan kesemua menara telekomunikasi di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini bertujuan bagi memastikan syarikat-syarikat yang menunjukkan prestasi baik dapat diberikan keutamaan bagi projek JENDELA Fasa 2 nanti.
“Kerajaan Negeri Pahang memohon agar SKMM memantau dan menilai prestasi syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembinaan menara telekomunikasi di Negeri Pahang ini di bawah inisiatif JENDELA.
“Ini bertujuan agar inisiatif selanjutnya JENDELA 2.0 dan juga inisiatif 5G sedang dilaksanakan sekarang, syarikat- syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik ini diberi keutamaan oleh pihak SKMM dan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong agar inisiatif komunikasi di Negeri Pahang berjalan lancar dan mengikut sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemuktamadan Pembinaan Menara Baru Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 Kluster 31 & 32 di Kampung Salang di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi SKMM, YBhg Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Pengarah SKMM Negeri Pahang, YBrs Encik Shahrizal Husin, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, Pengarah Pembangunan Koridor Utiliti Pahang (KUP), YBrs Ir Ts Mohd Sably Abdul Latiff dan pemimpin setempat.
Sementara itu, Dato’ Mohd Ali Hanafiah berkata, pihaknya akan memastikan pemantauan dilakukan bagi memastikan syarikat-syarikat yang komited dan menunjukkan prestasi yang baik akan diberi keutamaan bagi pelaksanaan projek JENDELA Fasa 2.
Menurutnya, JENDELA Fasa 2 akan melibatkan lebih banyak pembinaan menara telekomunikasi membabitkan lokasi menyeluruh di Pahang.
“Pihak SKMM dalam proses untuk merancang JENDELA 2.0 yang mana akan melibatkan lebih banyak lagi kawasan dan lokasi berbanding JENDELA yang pertama ini melibatkan 1,661 JENDELA 2.0 ini, kerana ia akan memasuki lebih dalam (lokasi) lagi pedalaman lah di setiap kawasan itu,” katanya.
Pada majlis sama, YB Fadzli turut berkesempatan melawat dan mendengar taklimat berkenaan proses pertanian fertigasi daripada pekebun di Kampung Salang.
YB Fadzli juga turut menyampaikan bakul makanan sumbangan Baycom Sdn Bhd kepada 50 penerima dari Mukim Penjom.
Menurut YB. Fadzli, sehingga Januari 2024, sebanyak 115 menara telekomunikasi telah siap dibina manakala 155 menara lagi dijangka dapat disiapkan menjelang Jun 2024. – PAHANGMEDIA