Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 18 JANUARI 2024 : Mercu tanda Temerloh Titik Tengah Semenanjung di Kampung Paya Siput, Lanchang menjadi satu tarikan pelancongan yang turut berperanan mendidik rakyat mengenali tempat-tempat penting di negara ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, ia bukan hanya sekadar mercu tanda tetapi ia sebahagian daripada pendidikan.
“It is educational landmark, semua rakyat kena tahu di mana titik tengah Semenanjung yang memang berada di sini dan secara tidak langsung sama seperti di UK iaitu Greenwich Mean Time (GMT), London yang juga sebahagian daripada pendidikan.

“Kita bawa penuntut-penuntut, ibu bapa mereka di mana secara langsung boleh tarik pelancong. Ia merupakan satu produk kepada daerah Temerloh selain ada gajah (Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah), rusa (Deerland Lanchang).
Ini adalah antara elemen tarikan kepada pelancong. Datanglah ke sini menikmati kecantikan pemandangan..ada bukit di belakang, kolam.. harap ada ikan lah nanti,” titah baginda ketika ditemui media di sini.
Dalam pada itu baginda turut menzahirkan harapan agar tempat berkenaan dapat dijaga dengan baik dan tidak kembali dilanda banjir.
“Masa tahun 2013 tempat ini banjir jadi saya harap tak berulang. JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) perbesarkan longkang dan saliran supaya kejadian banjir di kawasan ini tak berulang,” titah baginda.
Baginda yang tiba pada pukul 3 petang diiringi paduka-paduka anakanda berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Temerloh Titik Tengah Semenanjung Malaysia di Kampung Paya Siput, Lanchang hari ini.
Baginda turut berkenan meluangkan masa kira-kira satu jam untuk melihat mercu tanda dan pemandangan sekeliling selain bergambar kenangan di sekitar kawasan berkenaan.
Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaakob, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, barisan Exco negeri serta kepimpinan negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

