Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
PEKAN, 16 JANUARI 2024 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang bukan sekadar menunjukkan keprihatinan terhadap nasib rakyat tetapi juga dapat memberi peluang kepada rakyat untuk merasai hasil pendapatan negeri.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sebahagian daripada hasil pendapatan negeri digunakan bagi pelaksanaan pelbagai pembangunan untuk kegunaan rakyat manakala sebahagian lagi akan dikembalikan kepada mereka.
“Bantuan ini adalah untuk memberitahu kepada rakyat bahawa setiap pencapaian itu akan dikembalikan kepada rakyat sebahagiannya.

“Maknanya kita membuat pelbagai program dan inisiatif untuk pembangunan Negeri Pahang termasuklah keperluan rakyat, jadi dengan pendapatan dan pencapaian lebih daripada RM1 bilion ini membolehkan sebahagiannya dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan BPP pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2024 Inisiatif Kerajaan Negeri Pahang Kluster Penjaja, Kluster Pemandu Teksi dan Kluster ‘Food Rider’ di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 256 penerima terdiri daripada 173 penjaja, 14 pemandu teksi dan 69 ‘food rider’ telah menerima bantuan masing-masing.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin menambah, setiap bantuan dan pembangunan yang diberikan adalah bergantung kepada kutipan hasil oleh Kerajaan Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa prihatin, komited dan berusaha keras dalam mengutamakan keperluan rakyat. – PAHANGMEDIA

