Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 16 JANUARI 2024 : Pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Penjaja Harian, Pemandu Teksi, dan Food Rider dapat membantu menambah ekonomi penerima.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ramai penerima menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas bantuan ini.

“Rata-rata bila saya berkesempatan berbual dengan mereka semasa menyampaikan sumbangan tadi, mereka amat menghargai sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Ada yang merintih, yang meminta selesaikan segera kenaikan harga barang, dan saya nampak dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini, sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada kluster ini yabg turut terkesan, amat dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Penjaja Harian, Pemandu Teksi, dan Food Rider daerah Raub di Dewan Jubli Raub yang turut dihadiri Pegawai Daerah Raub, Encik Mohd Khuzaidi Harun.

Tambah beliau, bantuan ini dapat disalurkan kepada rakyat di negeri ini berdasarkan urus tadbir yang cekap oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Kita tengok pendapatan yang meningkat saban tahun, pelaburan masuk ke dalam Negeri Pahang yang turut meningkat setiap tahun, dan pertumbuhan ekonomi yang cukup rancak, menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang berada di landasan yang paling tepat.
“Hasil serta pendapatan ini disalurkan kembali kepada rakyat yang terkesan mengikut segmen-segmen yang telah dikenalpasti. Banyak kluster atau segmen yang kita kenalpasti dibawah Bantuan Prihatin Pahang ini,” katanya.
Sebanyak 809 penerima BPP kluster ini di daerah ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM161,800 melibatkan 739 penjaja, 37 penghantar makanan, dan 33 pemandu teksi yang masing-masing menerima bantuan RM200 seorang. -PAHANGMEDIA

