Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
PEKAN, 11 JANUARI 2024 : Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membuka peluang dalam menyediakan akses pendidikan fleksibel dan latihan kepada pekerja gig membabitkan seramai 100,000 ‘grab partners’ di seluruh negara.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, usahasama yang telah dimeterai ini dapat memastikan masa depan mereka lebih terjamin dengan tahap pendidikan yang lebih baik.
“Saya lihat ini adalah satu usaha untuk memberi peluang kepada pekerja-pekerja Grab menambahkan tahap pendidikan dan kelulusan sekiranya mereka berkhidmat dengan syarikat lain mungkin peluang ini tidak terbuka.
“Tetapi melalui usahasama yang telah dimeterai hari ini, insyaa Allah para pekerja Grab akan mendapat lebih banyak peluang ‘upskilling’ dan mereka berupaya untuk mendapat gaji yang lebih tinggi dengan kelulusan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Grabcar dan UMPSA di Hotel Ancasa Royale, Pekan.

Majlis pertukaran MoU tersebut telah diwakili oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Polisi Grab Malaysia, Encik Ebi Azly Abdullah.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, peluang ini diberikan bagi menyediakan akses pendidikan dan latihan yang mampu meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi golongan terbabit.
“UMPSA akan memberi latihan dalam bentuk sama ada ‘micro-credentials’ atau pun dalam bentuk profesional dan sijil-sijil tertentu yang mana diperlukan oleh mereka ini yang mana usahasama ini adalah satu yang amat baik untuk memastikan bahawa ‘Grab partners’ ini akan terjamin dari segi kehidupan mereka seterusnya,” katanya.
Sehingga kini seramai 120 ‘Grab partners’ telah mendapatkan pendidikan menerusi usahasama yang dilaksanakan.
Kerjasama strategik ini dapat memberi peluang kepada golongan pekerja yang aktif dalam ekonomi gig bagi membolehkan mereka mengikuti program latihan dan pembangunan yang disediakan oleh UMPSA melalui kerjasama UMPSA Advanced.
UMPSA Advanced akan berganding bahu untuk menawarkan kursus yang lebih fleksibel dan latihan berasaskan kompetensi dalam bentuk ‘micro-credentials’ bersesuaian untuk ‘Grab Partners’ yang ingin mengikuti kursus atau latihan secara konvensional berdasarkan kelapangan mereka.
Kelayakan dan kompetensi yang diperoleh akan membuka peluang mendapat pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi dalam memperkasakan kebolehpasaran pertumbuhan industri gig di Malaysia.
Kerjasama ini merupakan langkah proaktif UMPSA dalam menyokong dan meningkatkan keupayaan golongan pekerja gig sejajar evolusi landskap pekerjaan semasa yang semakin mencabar. – PAHANGMEDIA

