Oleh : Amalina Aminuddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 JANUARI 2024 : Pelbagai bentuk sumbangan telah disalurkan kepada mangsa banjir oleh Kerajaan Negeri khususnya dan juga Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) .
Tidak ketinggalan kali ini syarikat telekomunikasi terkemuka CelcomDigi turut mengambil peluang ini menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di sekitar DUN Dong.
Bagi mangsa banjir dari Kampung Pamah Kulat, Encik Abdul Rahim Rahmat, 43, menzahirkan rasa syukur di atas sumbangan yang diterima.

“Banjir kali ini sangat cepat berlaku, di kampung saya sahaja 16 buah keluarga terlibat. Semua kene pindah ke PPS dengan cepat. Alhamdulillah kerana Kerajaan Negeri antara penyumbang terawal dalam membantu kami ketika bencana baru-baru ini.
“Terima kasih YB Fadzli sebab datang hari ini jumpa kami, rasa teruja sangat. Terima kasih juga kepada pihak CelcomDigi yang menyampaikan sumbangan kepada kami hari ini,” katanya.
Sementara itu seorang warga emas, Encik Kamaludin Mohamed, 60, turut berasa syukur atas sumbangan yang telah diberikan oleh Syarikat Telco CelcomDigi dan juga badan sukarelawan yang terlibat.

“Terima kasih kepada CelcomDigi kerana sanggup datang memberi sumbangan kepada kami yang terlibat banjir. Kali ini banjir tidak seteruk dahulu yang mana naik air sampai pinggang. Alhamdulillah banjir baru-baru ini sehari sahaja kami di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Sekarang dalam proses pembersihan kawasan rumah.
“Memang sedih tapi nak buat macam mana, banjir ni kita bukan boleh nak elak. Apa yang penting semua selamat, keluarga saya dan penduduk kampung yang terlibat banjir semua selamat alhamdulillah,” katanya.
Sebanyak sembilan buah kampung di DUN Dong terlibat dalam bencana banjir iaitu Kampung Ajai, Kampung Pamah Rawas, Kampung Peruas, Kampung Pamah Kulat, Kampung Kuala Gali, Kampung Bukit Pampong, Kampung Kuala Keloi, Kampung Lechar dan Kampung Pasir Bayam.
Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Pegawai Bahagian Kelestarian Ibu Pejabat Celcomdigi Bhd, Encik Fazly Kamaruzaman kepada setiap ketua kampung terlibat disaksikan oleh Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal. – PAHANG MEDIA

