Oleh : Ain Nadhirah Basha, Amalina Aminuddin
KUANTAN, 09 JANUARI 2024 : Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya membudayakan nilai berfikir yang kreatif dan tidak berada pada tahap selesa semata-mata.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi memastikan Kerajaan Negeri Pahang menjadi sebuah kerajaan yang cekap dan berdaya saing.
“…apa ingin saya sampaikan adalah perlunya kita membuat perubahan segera bagi memastikan perkhidmatan yang kita sampaikan kepada rakyat adalah seiring dengan kemajuan semasa.

“Arus pemodenan yang begitu cepat berlaku menuntut kita semua turut sama beradaptasi dengan teknologi semasa. Mahu atau tidak, perubahan teknologi pada masa kini kita harus terima dan perlu disesuaikan dengan tugas masing-masing.
“Sebagai penjawat awam, kita tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian sahaja dan kita perlu berani berhadapan dan menangani perubahan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Negeri Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, penjawat awam di negeri ini juga perlulah mempunyai daya ketahanan yang tinggi, fleksibel, tangkas serta berinovasi demi kesejahteraan rakyat.
“Kita juga hendaklah menjadi penjawat awam yang berpaksi kepada rakyat dan berfikiran realistik serta sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang merentas jabatan dan agensi demi untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, amalan ini akan dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam dan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Majlis perjumpaan tersebut dihadiri oleh hampir 550 penjawat awam dari seluruh negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah. -PAHANGMEDIA

