Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 05 JANUARI 2024 : Pahang merupakan negeri pertama yang menubuhkan sekretariat bagi anak perantau di negara ini untuk mendekati dan menyantuni anak-anak Pahang yang berada di perantauan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata penubuhan Sekretariat Perantau Anak Pahang yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini juga adalah bagi menjaga kebajikan perantau dari Pahang.
“Hari ini bersejarah bagi Negeri Pahang yang mana kita berjaya menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang dan kita ada pejabat di WTC. Saya difahamkan oleh pihak sekretariat bahawa Pahang adalah negeri pertama yang menubuhkan anak rantau di luar Pahang berbanding negeri lain.

“Tujuannya menjadi one stop centre anak-anak Pahang yang berada di luar dan juga mahasiswa mahasiswi boleh mendapat maklumat yang tepat dan betul daripada pejabat sekretariat ini.
“Kita tidak mahu mereka mendapat maklumat yang tidak tepat kerana ini mungkin boleh menimbulkan kekeliruan. Kiranya ini sebagai platform untuk mereka mengadu, kalau tak ada sekretariat, mereka nak mengadu di mana?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Sekreteriat Perantau Anak Pahang dan pejabat sekretariat di Tingkat 6, World Trade Centre di Dewan Tun Hussein Onn, WTC hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.

Menurut beliau lagi, lebih 100,000 anak Pahang direkodkan berada di luar Pahang setakat ini dan mereka secara automatik berdaftar dengan sekretariat berkenaan.
“Pendaftaran mereka (perantau) secara automatik. Setakat ini anak-anak Pahang yang berada di luar, siswa siswi ada 11,251 manakala seramai 96,182 anak Pahang yang berada di luar Pahang. Dan kita tidak mahu meminggirkan mereka dan jadi apa-apa benda yang perlu bantuan sekretariat akan dapat bantu mereka.
“Kelebihan mereka, mereka akan dapat maklumat yang betul, maklumat yang tepat, one stop center, ada tempat untuk mereka memaklumkan bahawa apa jua permasalahan atau apa perkara yang boleh dibantu. Selain itu Kerajaan Negeri Pahang boleh menyalurkan maklumat kepada mereka. Di samping kita salur maklumat dan mereka terima maklumat, kita boleh selaraskan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Sebagai contohnya kita tubuhkan Tabung Prihatin Pahang RM5 juta untuk B40, jadi sekretariat ini boleh membantu mereka yang memerlukan bantuan. Bantuan bergantung kepada keadaan. Mungkin untuk belajar, sakit, demam, dan sebagainya. Dan kalau mereka datang ke sini, mereka boleh mengadu sebarang hal yang mereka rasa perlukan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Penubuhan sekretariat ini telah diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang pada 30 Ogos 2023 yang lalu, dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal akan menguruskan kebajikan anak-anak rantau, manakala kebajikan golongan mahasiswa IPT di luar Pahang akan diuruskan oleh YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsudin. -PAHANGMEDIA

