Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 JANUARI 2024 : Pihak pengurusan Terminal Sentral Kuantan (TSK) diminta membuat penambahbaikan dari segi kebersihan dan kemudahan terminal.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata ini bagi memastikan pengguna terminal berada dalam keadaan yang selesa.
“Hari ini saya mengadakan lawatan mengejut ke Terminal Sentral Kuantan dan saya meninjau tentang fasiliti-fasiliti yang ada di sini, dan saya juga mengadakan perjumpaan bersama pihak berkenaan untuk kita sama-sama mengadakan penambahbaikan bagi memberikan lebih servis kepada pengguna.

“Saya juga telah meminta pihak syarikat agar segera mengadakan penambahbaikan seperti menjaga kebersihan dan juga dapat memastikan keselesaan khususnya kepada pengguna di Terminal Sentral Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan hampir satu jam melawat kesemua fasiliti termasuklah tandas, surau, kaunter tiket dan gerai jualan di Terminal Sentral Kuantan hari ini.
Menurut beliau, kebanyakan pengguna yang ditemui ketika lawatan tersebut memberikan gred 7 dan 8 kepada keselesaan yang dialami mereka ketika menggunakan terminal ini.

“Saya juga telah bertanya secara umumnya kepada pengguna yang ada, dan kebanyakan daripada mereka berpuas hati, bagi 7 dan 8 tahap.
“Saya nak supaya pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan syarikat dapat mengatur jadual berkala, jaga kebersihan, dan keselesaan pengguna.
“Saya juga difahamkan perkhidmatan eskalator juga akan dapat digunakan pada 20 Januari ini selepas alat ganti tiba dan dapat digunakan sebaiknya oleh pengguna,” katanya.
Tambah beliau, satu pelan tindakan susulan juga akan dilaksanakan bersama pihak MBK bagi memastikan terminal ini berada di tangga terbaik di negara ini. -PAHANGMEDIA

