Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 29 DISEMBER 2023 : “Banjir berlaku dengan pantas ada, jalan masuk ke rumah dinaiki air hingga menyebabkan kami terpaksa pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak hari Rabu lalu,” kata Encik Mohamad Najmi Hassan, 38.
Menurutnya, dia bersama isteri dan empat orang anak lingkungan usia tujuh bulan hingga sembilan tahun ditempatkan di PPS SK Tebing Tinggi dan mungkin dapat balik ke rumah hari ini jika paras air surut.

“Alhamdulillah semua selesa di PPS ini, anak-anak ada aktiviti yang disediakan malah makan minum dan kebajikan kami dijaga dengan baik,” katanya.
Dia turut menyampaikan rasa terharu di atas kehadiran Menteri Besar Pahang yang menziarahi keadaan dia dan semua mangsa di PPS berkenaan.
“Sudah pasti saya rasa bangga sebab MB sudi datang ke sini, kalau ikut kan Kampung Tebing Tinggi ni boleh dikatakan kawasan pedalaman lah, kampung tradisional tapi MB tetap sudi datang,” katanya.
Bagi seorang lagi mangsa banjir di PPS sama, Encik Hazimin Mohamad , 50, turut menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir melawat dan menyampaikan sumbangan.

“Semuanya okay di sini (PPS), makan minum cukup, tidur selesa cuma memikirkan rumah dan air banjir yang diharap cepat surut.
“Sudah pasti kami gembira MB Dato’ Sri Wan Rosdy sudi datang ke sini lawat kami penduduk Kampung Tebing Tinggi yang terlibat banjir,” katanya.
Bagi mangsa banjir dari Kampung Teluk Ira, Temerloh, Ibrahim Salleh, 51, berkata walaupun dia dan keluarga ditimpa musibah banjir, namun rasa syukur mengatasi segala-galanya apabila kebajikan mereka terjaga.

“Kami selesa di PPS, keadaan pun tak sesak kerana ada tujuh buah keluarga je sekarang ini. Kehadiran MB hari ini juga amat ditunggu-tunggu, terima kasih kerana sudi menziarahi kami.
“Terima kasih banyak-banyak juga kepada semua pihak yang membantu dan menjaga kebajikan kami di PPS,” katanya. -PAHANGMEDIA

