Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 29 DISEMBER 2023 : Menteri Besar Pahang mengarahkan proses baik pulih hakisan di Jambatan Kuala Krau dipercepatkan bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian tidak diingini.
YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata hakisan tanah akibat arus deras ini dikhuatiri membahayakan pengguna jalan berkenaan terutamanya penduduk setempat.
“Selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Tebing Tinggi, Jerantut, saya membuat tinjauan di Jambatan Kuala Krau, Temerloh yang mengalami hakisan tanah akibat arus deras sungai berhampiran.
“Saya telah mengarahkan supaya pihak Jabatan Kerja Raya mempercepatkan baik pulih jambatan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku terutamanya kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebooknya selepas melawat Jambatan Kuala Krau yang mengalami hakisan dan terpaksa di tutup serta meninjau paras air di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Laluan berkenaan telah dikesan mengalami runtuhan tidak kritikal pada 24 Disember 2021 akibat hakisan dari peningkatan paras air sungai semasa banjir besar berlaku.
Menerusi pemeriksaan kawasan runtuhan oleh unit forensik pada 31 Mei lepas, pihak berkenaan telah mencadangkan penutupan satu lorong dilakukan bagi keselamatan pengguna lalulintas.
Lawatan susulan oleh Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba pada 27 Disember lepas mendapati runtuhan semakin kritikal disebabkan oleh hakisan air akibat paras air yang meningkat.
Selain itu, lawatan susulan berkenaan juga mendapati tanah di bahagian penyangga jambatan juga didapati semakin lemah menyebabkan pihak JKR menutup sepenuhnya laluan di jambatan dan membuat lencongan ke jambatan baharu. -PAHANGMEDIA

