Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 29 DISEMBER 2023 : Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang ingin menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir diminta menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah yang terlibat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dapat membantu menguruskan keperluan dan mengelakkan pembaziran dari segi sumber manusia.
“Kita ada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, jadi kita minta mereka hubungi pusat ini.
“Tujuan kita bukan untuk menyusahkan mereka tetapi nak elakkan pertindihan kerja. Jadi bila hubungi PKOB di setiap daerah yang terlibat, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat ke mana sepatutnya atau boleh mereka pergi untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat 28 orang mangsa banjir yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Ira, di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli, Penyelaras DUN Jengka, YB. Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said dan Penyelaras DUN Kuala Semantan, Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sebelum itu turut melawat dan menyantuni 24 orang mangsa banjir di PPS SK Tebing Tinggi di Jerantut sebelum meninjau keadaan Jambatan Kuala Krau yang mendap ekoran hakisan tanah yang berlaku akibat arus deras banjir.
Sementara itu dalam sidang media sama beliau berkata, setakat ini kerjasama semua agensi kerajaan dalam menangani bencana banjir di Pahang amat baik termasuk mangsa banjir yang patuh mengikut arahan pihak berkuasa agar berpindah.
Menurutnya Kerajaan Negeri juga akan meneliti jumlah peruntukan bantuan banjir yang akan diberikan kepada mangsa banjir terlibat.
“Buat masa ini keutamaan kita ialah memastikan semua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat, selesa dan cukup bekalan makanan, kita bersyukur kerana situasi banjir di Pahang masih terkawal,” katanya.
Dalam pada itu beliau juga mengingatkan semua pihak sama ada mangsa atau petugas agar sentiasa menjaga SOP dalam melakukan usaha yang terbaik untuk kebaikan semua pihak.
“Terima kasih juga kepada mangsa banjir yang patuh pada arahan. Tunggu kebenaran pihak berkuasa, jangan balik (rumah) sembarangan sebab nak ambil barang atau apa sahaja di rumah.
“Pentingkan faktor keselamatan sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hingga (bulan) Mac nanti.
Jika disuruh berpindah, pindahlah kerana kita utamakan faktor keselamatan dan nyawa berbanding faktor lain,” katanya. -PAHANGMEDIA