Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 DISEMBER 2023 : Dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat petang ini di Temerloh dan Rompin menjadikan keseluruhan mangsa dipindahkan meningkat kepada 156 orang.
Menurut laporan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, seramai 14 mangsa dipindahkan ke SK Teluk Ira, Temerloh manakala 13 lagi mangsa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Bukit Ibam, Rompin.
Mangsa yang dipindahak ke PPS SK Fakeh Abdul Samad, Kuantan menurun kepada 69 mangsa daripada 24 keluarga; manakala mangsa di PPS SK Bukit Gemuruh, Bera meningkat kepada 14 mangsa daripada lima keluarga.
Sementara itu, jumlah mangsa di PPS SK Teh dah SK Tebing Tinggi, Jerantut kekal sebanyak 42 mangsa melibatkan 10 keluarga; dan empat mangsa lagi di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian, Maran.
Terdapat enam sungai utama di negeri ini direkodkan berada pada paras bahaya dan lima daripadanya menunjukkan tren menaik iaitu Sungai Pahang di Waterfront, Bera; di Pekan, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Sungai Pahang di Paloh Hinai; dan di Rompin, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat.
Manakala baki sungai yang berada pada paras bahaya namun menunjukkan tren menurun adalah Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh. -PAHANGMEDIA

