Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 28 DISEMBER 2023 : Bera menjadi daerah terbaharu membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan sembilan mangsa banjir daripada dua keluarga.
Menurut laporan yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, kesemua mangsa di Bera ditempatkan di SK Bukit Gemuruh.
Sementara itu baki 122 mangsa lagi ditempatkan di empat PPS melibatkan dua PPS di Jerantut iaitu di SK Teh dan SK Tebing Tinggi, manakala masing-masing satu PPS di Kuantan iaitu SK Fakeh Abdul Samad dan Balairaya Kampung Baru Pertanian di Maran.
Terdapat enam sungai utama di negeri ini direkodkan berada pada paras bahaya dan empat daripadanya menunjukkan tren menaik iaitu Sungai Pahang di Waterfront, Bera; di Pekan, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, dan Sungai Pahang di Paloh Hinai; di Rompin, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia.
Manakala baki dua sungai yang berada pada paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, Rompin berada pada paras yang sama.
Menurut laporan berkenaan juga , kawasan di Tanjung Gelang akan berhadapan fenomena air pasang surut dengan ketinggian 3.5 meter pada 11.18 malam hari ini. -PAHANGMEDIA

