Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 27 DISEMBER 2023 : Jumlah mangsa banjir di negeri ini naik sedikit setakat 8 malam ini dengan pertambahan 24 orang mangsa daripada tujuh buah keluarga yang ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baru dibuka iaitu di SK Tebing Tinggi, Jerantut.
Pertambahan itu menjadikan keseluruhan mangsa banjir di negeri ini seramai 119 orang terdiri daripada 35 buah keluarga berada di empat buah PPS setakat 8 malam ini.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang, kesemua mangsa terbabit masih dari daerah Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Seramai 68 orang mangsa daripada 23 buah keluarga di daerah Kuantan ditempatkan di PPS SK Fakeh Abdul Samad manakala 18 orang mangsa daripada tiga buah keluarga dari daerah Jerantut kekal ditempatkan di SK Teh dan sembilan orang mangsa sama dari dua buah keluarga masih berada di Balairaya Kampung Lentang, Lipis.
Setakat malam ini juga, enam buah sungai masih kekal direkodkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling Jerantut di Kampung Merting, Sungai Luit Maran di Kampung Subuh, Sungai Pahang iaitu Kuala Sungai Chini dan Paloh Hinai di Pekan selain Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat serta Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia di Rompin.
Sementara itu satu lagi sungai dicatat melepasi paras bahaya dan menunjukkan trend menaik ialah Sungai Pahang di Kuala Krau. – PAHANGMEDIA

