Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 DISEMBER 2023 : Pahang menyediakan tenaga sukarelawan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir membersihkan kawasan dan kediaman mereka yang terjejas.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pasukan ini melibatkan tenaga sukarelawan daripada Majlis Tindakan Sosial Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
“Kita ada Majlis Tindakan Sosial Pahang di Pahang dan di Pejabat SUK kita ada team sukarelawan yang akan membantu rumah-rumah atau tempat awam yang kena banjir.
“Ini semua kita telah ambil kira. Jangan risau. Kita ada sukarelawan dan sukarelawati yang banyak dan sedia membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika ditemubual secara panggilan oleh Bernama Radio hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga telah menyelaraskan semua bentuk bantuan sama ada tenaga kerja mahupun kewangan kepada mangsa banjir di negeri ini bagi mengelakkan berlakunya pertindihan.
“Mereka seharusnya menghubungi Pusat Khidmat Operasi Bencana daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah. Mereka boleh memaklumkan (minta bantuan cuci) dan kita akan selaraskan.
“Di Pahang ini kita selaraskan bantuan, pergi cuci rumah, semua kita selaraskan. Kita tak nak jadi kerja dua kali. Bantuan seperti biasa. Selepas banjir kita akan adakan mesyuarat, kita akan lihat apa keperluan,” katanya.
Beliau berkata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah turut mengurniakan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.
“Saya menjunjung kasih kepada Tuanku kerana mendapat bantuan daripada UAE dan Tuanku sendiri membina rumah kepada mangsa banjir ini yang dikenali sebagai Ru’RASA. Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah.
“Ini biasanya kita bagi kepada mereka yang benar-benar memerlukan rumah ataupun rumah mereka musnah akibat banjir.
“Di samping itu kita juga ada membantu di samping Kerajaan Pusat. Semuanya ada tindakan dan kita tahu mangsa-mangsa banjir ini harus dibantu oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mengulas mengenai pelan Kerajaan Negeri Pahang selepas berlakunya banjir, beliau berkata tindakan jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan
“Banyak yang kita buat antaranya ialah kita mengadakan latihan, kita mengadakan mesyuarat dan kita sentiasa educate kawasan-kawasan yang berisiko. Dan selepas banjir biasanya ada tindakan jangka pendek dan tindakan jangka panjang seperti tebatan banjir. Semua itu kita usahakan.
“Dan alhamdulillah kita mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat tebatan banjir untuk Negeri Pahang pada tahun 2024. Dalam bajet baru-baru ini pun ada dibentangkan. Saya rasa ini semua akan dapat meminimakan atau mengurangkan masalah banjir di Negeri Pahang.
“Pada tahun lepas ada tempat-tempat yang putus hubungan, kita buat tapak helipad di kawasan pedalaman supaya memudahkan helikopter mendarat, menghantar bekalan makanan dan sebagainya. Ini adalah tindakan Kerajaan Negeri daripada semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut meminta rakyat di negeri ini berdoa supaya banjir di Pahang pada kali ini tidak terlalu serius seperti sebelum ini.
Setakat ini tiga PPS di Jerantut, Lipis, dan Kuantan dibuka menempatkan 90 mangsa banjir daripada 26 keluarga. -PAHANGMEDIA

