Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 22 DISEMBER 2023 : Kerajaan Tempatan perlu memberi lebih fokus dan komitmen terhadap perkhidmatan kepada rakyat berbanding mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sistem yang diguna pakai ketika ini masih bersesuaian dengan kehendak semasa di mana Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah terdiri dari kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik.
“Saya berpendirian teguh, apa jua yang hendak dilakukan, komitmen paling tinggi harus diberi dalam mengutamakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Itulah agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan.
“Sistem yang diguna pakai pada masa sekarang masih sesuai dengan kehendak semasa. Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah kebiasaanya dari kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik.
“Ahli-ahli Majlis pula adalah lantikan Kerajaan Negeri, yang sudah semestinya juga membawa hasrat dan agenda yang sama dengan kerajaan memerintah,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.
Sebaliknya, beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya memasukkan elemen politik (pilihan raya) di dalam sistem sedia ada yang berkemungkinan boleh membawa mudarat seandainya fokus terhadap politik melebihi fokus terhadap perkhidmatan kepada rakyat.
“Mungkin juga, kelak akan berlaku pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi. Dan itu lah yang berlaku pada masa kini, yang dipilih itu kadang-kala atas dasar popular, tetapi tidak boleh buat kerja.
“Kita juga harus menilai dari sudut implikasi kewangan. Jutaan ringgit bakal dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya kerajaan tempatan yang mana wang tersebut lebih baik digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau turut menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan, terutamanya terhadap isu-isu sensitif yang sengaja diwujudkan bagi menimbulkan provokasi tetapi berselindung disebalik nama demokrasi. – PAHANGMEDIA