Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 DISEMBER 2023 : Pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Nelayan 2023 oleh Kerajaan Pahang bukan sekadar tanda kasih dan ingatan kerajaan kepada rakyat tetapi dapat membantu golongan itu berhadapan situasi sukar pada musim tengkujuh.
Ini berikutan kesukaran para nelayan ke laut memandangkan keadaan cuaca dan ombak yang bergelora sehingga menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
Bagi Mohd Yusof Abdullah, 70, pengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan di Pantai Pelindung memberikan kelebihan kepada beliau setiap kali tiba musim tengkujuh namun tidak menafikan pendapatannya sedikit terjejas berbanding bulan biasa.

Justeru, katanya, BPP yang diterima dapat digunakan untuk menambah barangan keperluan harian di rumah sementara menunggu keadaan cuaca kembali seperti biasa.
“Bantuan ini dapatlah sedikit sebanyak membantu menambah belanja harian dan kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Pahang khususnya YAB Menteri Besar Pahang di atas sumbangan yang diberikan, cuma kalau dapat diteruskan pada tahun hadapan dan ditambah jumlah sumbangannya, lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Mahamad Isa, 70, dari Kampung Sungai Deraka juga merupakan nelayan laut dalam di Tanjung Lumpur amat gembira dan berbesar hati dengan sumbangan BPP KLuster Nelayan yang diberikan Kerajaan Pahang.

Beliau juga berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan untuk menambah jumlah bantuan BPP pada tahun hadapan.
“Alhamdulillah saya bersyukur sangat dengan bantuan yang diterima pada hari ini namun kami sangat gembira dan berbesar hati sekiranya kerajaan dapat menambah jumlahnya pada tahun hadapan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat pada hari ini,” katanya.
Kedua-dua mereka adalah antara 476 nelayan dari seluruh Daerah Kuantan yang telah menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Nelayan yang disampaikan oleh wakil YAB Menteri Besar iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif di Dewan PM Najib, Batu 3 di Kuantan, pagi tadi.
Kesemua 476 nelayan telah menerima BPP masing-masing membabitkan peruntukan RM95,200 dengan setiap nelayan mendapat RM200 bantuan. – PAHANGMEDIA

