Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 14 DISEMBER 2023 : Kerja-kerja pembinaan Dewan Negeri di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di Kuantan kini mencapai 84 peratus siap dan dijangka dapat diselesaikan pada Mac tahun depan.
YB. Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, ia mengikut jadual pembinaan baharu yang dikeluarkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Negeri tidak terburu-buru demi memastikan kualiti pembinaan adalah sempurna.

“Kita bersidang kali pertama ialah bulan Mei (2024), kita harap sekiranya telah siap, dapatlah kita bersidang tetapi kalau tidak, kita akan menggunakan dewan sedia ada (Wisma Sri Pahang) ini.
“Jadi kita pun tidak terburu-buru, yang penting sekali kita akan ada dua dewan, dewan yang lama (Wisma Sri Pahang) dan dewan yang baharu (PPSAS) yang dalam pembinaan.
“Mereka (JKR) pun ada jadual yang diberikan jadi kita harap seperti yang dinyatakan mereka boleh siap dalam waktu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang mengenai perkembangan pembinaan Dewan Negeri Pahang di PPSAS yang diadakan di Blok A, Wisma Sri Pahang, petang tadi.
Beliau berharap, kerja-kerja akhir pembinaan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Kita harap supaya dewan tersebut dapat disiapkan, semualah termasuk Kompleks PPSAS dapat disiapkan tetapi dalam masa yang sama kita hendak juga kesempurnaan, kita tidak mahu nanti ‘rumah siap pahat berbunyi’, kita tidak mahu begitu, sekiranya ada ‘defect’ dan sebagainya, biar dia siap dengan cara teratur,” katanya. – PAHANGMEDIA

