Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 DISEMBER 2023 : Kesukaran hidup yang dilalui rakyat di negeri Pahang terus terbela dengan keprihatinan yang dijelmakan Kerajaan Negeri melalui pemberian cek sumbangan.
Salah seorang penerima, Encik Nawi Jonos dari Rompin amat bersyukur kerana permohonannya bagi mendapatkan bantuan diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana dengan sumbangan ini dapatlah saya membaikpulih rumah yang didiami bersama keluarga.
“Ia amat bermakna kepada kami apatah lagi sekarang ini musim hujan, jadi atap yang rosak memang akan menyebabkan air masuk ke dalam rumah,” katanya.
Manakala bagi Encik Mohd Zulzanizam Nazni dari Kuantan turut menzahirkan rasa syukur kerana mendapat cek sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang untuk pembiayaan kos perubatan dan rawatan susulan anaknya yang mengalami sakit Leukimia.
“Jumlah sumbangan yang saya terima pada hari ini sebanyak RM5,000 akan saya gunakan untuk kos rawatan anak saya. Memang jumlah kos rawatan untuk penyakit dia sangat tinggi hingga mencecah puluhan ribu ringgit.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya untuk menanggung kos rawatan selain mencari rezeki untuk menyara ahli keluarga lain”, katanya yang terharu sejurus menerima sumbangan dari YAB Menteri Besar Pahang.
Seorang lagi penerima cek sumbangan Encik Syed Walid Syed Omar berkata, keuzuran yang dialami kini memerlukan kos untuk beliau membiayai keperluan berkaitan.
Beliau yang mengalami masalah untuk berjalan berasa bersyukur kerana dengan sumbangan ini dapat membantu menampung pembelian kerusi roda bermotor yang diperlukannya.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, selaku Menteri Besar Pahang kerana amat prihatin terhadap rakyat di bawah jagaannya”, katanya.
Seramai 36 orang penerima melibatkan sumbangan sebanyak RM494,211 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk sumbangan yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Makan Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, hari ini. –PAHANGMEDIA