Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
PORT DICKSON , 12 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menandatangani Perjanjian Bekalan Air Pukal dengan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), hari ini.
Perjanjian berkenaan telah ditandatangani oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato’ Saiful Zaini Mohd Bahari manakala Negeri Sembilan diwakili Menteri Besarnya yang juga Pengerusi SAINS, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Ir Hj Mohd Yazid Ahmad.
Sesi menandatangani perjanjian yang diadakan di Lexis Hibiscus di sini telah disaksikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang merangkap Pengerusi PAIP, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaakob dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim.
Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Hj Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Hj Jalaluddin Alias.
Dalam sidang media yang diadakan, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Dato’ Saiful Zaini berkata, perjanjian berdasarkan kesefahaman antara kedua buah negeri ini telah berlangsung sejak tahun 1997.
“Perjanjian ketika itu adalah untuk tempoh lima tahun, dan hari ini kita kembali menandatangani perjanjian komersial bagi tempoh setahun dengan pilihan untuk diperbaharui setiap tiga tahun.
“Melalui kesefahaman yang telah lama sedia wujud ini, PAIP membekalkan sebanyak 2.5 juta liter air terawat setiap hari dengan kadar harga yang berpatutan bagi kedua-dua pihak iaitu 86 sen per meter padu,” katanya.
Bekalan air terawat akan dibekalkan melalui Loji Rawatan Air Bera bagi kegunaan 1600 akaun pengguna di Felda Serting Hilir 1 hingga 7 yang kedudukannya di penghujung sistem retikulasi SAINS dan juga bersempadan paling hampir dengan negeri Pahang. -PAHANGMEDIA