Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 DISEMBER 2023 : Skuad Pahang berjaya menjulang trofi Piala Emas Raja-Raja edisi 101 dengan menundukkan Terengganu 4-1 pada perlawanan akhir malam tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur ini menyaksikan Pahang meraih dua gol pada hasil jaringan Muhammad Fitri Aziq pada minit ke-27 dan ke-72.
Manakala dua gol lagi dihasilkan menerusi Muhammad Zarih Izzuddin pada minit ke-32 dan Muhammad Amin Che Jusoh pada masa tambahan separuh masa kedua.
Terengganu pula meraih gol saguhati hasil sepakan penalti Muhammad Adli Abd Rahman pada minit ke-38.

Kejayaan skuad kendalian Mohd Yazeed Hamzah yang mengulangi kejayaan pada 2018 membolehkan mereka membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM80,000 berserta medal dan trofi Piala Emas Raja-Raja.
Sementara skuad Terengganu yang dibimbing Wan Adremy Indera terpaksa berpuas hati di tangga kedua dengan membawa pulang hadiah kemenangan RM40,000 dan medal.
Hadiah disampaikan Exco Komunikasi & Multimedia, Belia Sukan & Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal yang merupakan wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Exco Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB. Hishamuddin Abdul Karim; Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan; Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dan Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed. -PAHANGMEDIA

