Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang melalui Pejabat Kewangan dan Perbendahaan Negeri Pahang (PKN) telah meluluskan permohonan peruntukan bagi membaikpulih krematorium di Tanah Perkuburan Hindu, Karak.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peruntukan sebanyak RM200,000 telah diterima oleh Majlis Perbandaran Bentong.
“Permohonan peruntukan bagi projek membaikpulih krematorium di Tanah Perkuburan Hindu, Karak yang rosak akibat musibah banjir dan musnah teruk telah pun diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sabai, YB. Tuan V Arumugam Veerappa Pillai pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Kerja membaikpulih krematorium itu kini dalam tindakan pengeluaran sebut harga bagi tujuan pemilihan kontraktor. – PAHANGMEDIA

