Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang berjaya mencapai penjimatan bagi Program Juadah Makmur di setiap masjid di seluruh Pahang dengan perbelanjaan hanya RM8.35 juta berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM15.19 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain daripada Program Juadah Makmur, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada rakyat menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP).
Menurutnya, sebanyak hampir RM40 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan BPP kepada semua rakyat daripada pelbagai peringkat bagi memastikan setiap daripada penduduk Pahang tidak terkecuali menerima sebarang bantuan daripada kerajaan.
“Hampir RM40 juta peruntukan menerusi BPP yang kita sediakan untuk asnaf dan pelbagai golongan, jadi kita tidak abaikan, boleh dikatakan setiap individu, insan, rakyat Negeri Pahang, insyaaAllah, Kerajaan Negeri Pahang tidak abaikan dan seperti mana yang telah kita janjikan apa jua yang kita dapat kita akan kembalikan kepada rakyat selain daripada RM600 juta yang memang dah kos tetap dibayar gaji dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Ibam, YB. Tuan Nazri Ahmad pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, bantuan terhadap rakyat ini tidak boleh dipertikaikan kerana tidak ada rakyat di Pahang yang ketinggalan daripada menerima sebarang bantuan dan insentif oleh kerajaan yang telah diperuntukkan. – PAHANGMEDIA

