Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 DISEMBER 2023 : Pembinaan pusat pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Pahang, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dapat meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bangunan pentadbiran ini juga merupakan mercu tanda baharu di Negeri Pahang.
“Selama lebih lima dekad Wisma Sri Pahang berdiri teguh di Jalan Gambut Kuantan, ia telah diwarnai dengan pelbagai bentuk perjalanan. Kepimpinan dan warganya silih berganti bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memacu pertumbuhan negeri ke tahap yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.
“Namun begitu, bangunan sedia ada pada masa kini berada dalam keadaan yang amat tidak memuaskan serta tidak ekonomik lagi untuk dibaiki. Pertambahan warga kerja pada setiap tahun menjadikan ruang kerja di Wisma Sri Pahang terlalu sesak dan menimbulkan ketidakselesaan kepada semua penjawat awam yang bertugas.
“Patik yakin, dengan terbinanya bangunan PPSAS sebagai mercu tanda baharu Negeri Pahang Darul Makmur, suasana bekerja warga penjawat awam Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku akan lebih kondusif, selain dapat meningkatkan lagi produktiviti serta mutu perkhidmatan ke arah keseimbangan pembangunan dan kelestarian Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa persembahan ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaakob, Mantan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka yang juga Mantan Menteri Besar Pahang, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob, barisan Exco serta kepimpinan negeri Pahang.
Beliau berkata keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda pada hari ini mencerminkan keprihatinan dan kecaknaan baginda terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang agar institusi ini terus berupaya untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada negeri dan juga rakyat jelata.
“Justeru itu, Patik berdoa semoga majlis pada hari ini mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah SWT, agar Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, dapat meneruskan agen dan pembangunan negeri yang mampan demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Menurut beliau lagi, pembinaan pusat pentadbiran PPSAS yang melibatkan kos sebanyak RM415.52 juta telah mula di bina pada 2016 yang mana binaannya diinspirasi daripada jata negeri ini.
“Bangunan PPSAS ini terbahagi kepada empat blok utama yang menempatkan keseluruhan pentadbiran Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, dengan penerapan bangunan pintar yang menekankan ciri-ciri keselamatan seperti sistem pengecaman wajah.
“Selain itu, pembinaan PPSAS juga turut mengaplikasikan teknologi hijau dan penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar seperti mana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang mahu setiap pembangunan di negeri ini perlu berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. -PAHANGMEDIA