Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri terus memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memelihara dan memperkasa kebajikan rakyat meliputi pelbagai aspek seperti kesihatan yang baik, keselesaan, kesejahteraan dan kemakmuran hidup.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan tahun ini, Kerajaan Negeri telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi merancakkan lagi usaha menjaga kepentingan rakyat.
Menurutnya, antara inisiatif yang disenaraikan ialah peningkatan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) pada tahun hadapan berbanding RM7.6 juta pada tahun ini selain RM2.058 juta bagi Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang memberi manfaat kepada 7,712 orang penerima dalam kalangan warga emas dan OKU.
“Selain itu pemberian one-off sebanyak RM500 kepada 300 orang penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), pemberian one-off kepada Pelatih OKU di PPDK melibatkan peruntukan RM300,000, peruntukan sebanyak RM250,000 bagi Sambutah Hari Kebajikan serta pelaksanaan penanda aras premis mesra OKU melibatkan peruntukan RM500,000 dalam mengiktiraf kemudahan mesra OKU yang disediakan.
“Seramai 450 orang anak yatim di Pusat Berdaftar JKM pula akan menerima RM250 seorang manakala peruntukan sebanyak RM140,000 dikhususkan kepada 14 buah rumah anak yatim berdaftar JKM dengan RM10,000 bagi setiap rumah anak yatim berkenaan. Selain itu, subsidi sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pembedahan katarak mata 500 orang penerima warga emas dengan kos pembedahan adalah RM3,000 selain peruntukan RM16.8 juta untuk Kad Kesihatan (Pahang Pride Kasih) kepada 31,600 orang warga emas dan OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan perancangan dan pelaksanaan program Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang antaranya Kempen Penerapan Nilai Teras Keluarga KASIH, Program Pendidikan Kemahiran Keibubapaan dan Bimbingan Kaunseling, Program Psiko-seksual Remaja Remaja dan Program Kesihatan Reproduktif dan Kesejahteraan Wanita.
Sementara itu beliau berkata, wanita juga mampu menyumbang dan menyertai usaha-usaha pembangunan dalam aspek ekonomi, politik, budaya dan sosial dengan lebih efektif jika potensi 47 peratus golongan wanita daripada keseluruhan 1.68 juta penduduk Negeri Pahang diupayakan.
“Tidak dinafikan dari dulu, kini dan selamanya Kerajaan Negeri Pahang amat prihatin terhadap kebajikan wanita di mana sejumlah RM9.07 juta diperuntukkan pada tahun depan bagi pembangunan Wanita Pahang merangkumi aspek pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan wanita.
“Antaranya melibatkan hasrat mewujudkan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP) yang telah direalisasikan oleh YAB Dato’ Sri Menteri Besar Pahang di mana ia mensasarkan 10,000 orang wanita pada tahun hadapan dengan memberi tumpuan kepada kesemua kluster iaitu Pendidikan, Keusahawanan, Kesihatan, Keluarga, Teknologi, Agama, Kepimpinan, Seni, Budaya dan Warisan, Pekerjaan dan Perundangan,” katanya.
Sementara itu beliau turut menyenaraikan program-program yang meningkatkan ekonomi wanita di negeri ini antaranya Anggun Maju yang melibatkan program Anggun Niaga dan Anggun Usaha niaga yang telah membantu lebih 1,000 orang ibu tunggal mengukuhkan perniagaan mereka.
“Selain itu kita ada Pusat Pengembangan Keusahawanan Wanita Pahang, Program Anggun Suri bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran untuk berkahwin atas kos perkahwinan yang begitu tinggi, Usahawan Suri Rumah yang membantu golongan ini terlibat dalam pelbagai bidang seperti jualan atas talian,perkhidmatan catering, menjahit atau menghasilkan produk kreatif.
“Wanita juga diperkasa melalui Program Pemerkasaan Kepimpinan Wanita Muda selain penyediaan geran serta aktiviti tahunan seperti Sambutan Hari Wanita, majlis meraikan wanita Cina dan India dalam perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina, menyediakan geran tahunan kepada MPWP dan MTSP serta kos penyelenggaraan Pahang Women Center (PWC),” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Program Permata Makmur yang telah bermula pada tahun 2022 dan 2023 telah dimanfaatkan kira-kira 30,000 orang bayi kelahiran hidup.
“Bagi menggalakkan lagi kelahiran anak kebanggaan Pahang pada tahun hadapan, YAB Menteri Besar Pahang meneruskan program ini pada tahun hadapan dengan penambahbaikan iaitu pemberian RM300 bagi setiap kelahiran hidup,” katanya. -PAHANGMEDIA

