Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di negeri ini berjaya ditingkatkan kepada 94.33 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding hanya 89.1 peratus sebelum ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ini berdasarkan pencapaian semasa projek di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Usaha dan tumpuan sedang diberikan bagi menyiapkan baki 170 menara lagi yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Sasaran telah ditetapkan untuk menara-menara ini siap dan beroperasi secara berperingkat bermula pada penghujung tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan.
“Sebanyak 132,737 premis telah siap dirangkaikan dengan gentian optik. Manakala dua lagi projek JENDELA iaitu naiktaraf 904 stesen pemancar ke rangkaian 4G dan penyediaan capaian internet jalur lebar teknologi satelit di 69 Kampung Orang Asli telah juga siap dilaksanakan.
“Kadar ini dijangka akan terus meningkat apabila baki 170 menara telekomunikasi yang sedang dalam pembinaan, siap dan mula beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkenaan status pelaksanaan menara telekomunikasi di bawah inisiatif jendela di Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau lagi, 170 buah menara yang telah siap ini merupakan 270 menara yang dirancang dalam JENDELA dan menara pertama di negara ini yang siap dibina bagi projek ini adalah di negeri ini.
“Semenjak JENDELA mula dilaksanakan pada suku kedua tahun 2020, pelaksanaan projek-projek ini telah menunjukkan kemajuan pelaksanaan yang cukup baik di mana daripada 270 menara yang dirancang sebanyak 100 menara telah pun siap dan beroperasi.
“Untuk makluman, menara telekomunikasi pertama daripada 1,661 buah menara yang telah siap beroperasi, menara pertama yang siap dan beroperasi bagi projek Jendela Fasa 1 adalah di Kampung Ulu Teh, Jerantut,” katanya. -PAHANGMEDIA