Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM4.51 juta bagi melaksanakan program dan projek menyediakan peluang pekerjaan buat golongan pencari pekerja.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, kerajaan memperkenalkan Pembangunan Rangka Tindakan dan Pelan Strategik Majlis Pekerja Negeri Pahang, mengadakan Siri Forum ‘Pekerja Harmoni, Ekonomi Lestari’, Karnival Kerjaya Negeri Pahang, Pahang 1st Job dan Sistem Pengkalan Data Utama Pekerjaan Pahang atau CariKerja@Pahang.
“Langkah ini akan dibangunkan dengan kerjasama PERKESO menerusi MY FutureJobs (Portal Pekerjaan Nasional Malaysia). Sehingga September 2023, MYFutureJobs telah membantu seramai 4,829 pencari kerja di Pahang.
“Usaha ini dibuat bagi memperkukuhkan kerjasama dan penyelarasan program antara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut memastikan perlindungan keselamatan sosial terhadap golongan Luar Tenaga Buruh dengan mengkaji semula peruntukan tambahan bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Orang Bekerja Sendiri (OBS) telah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan Program Jualan RAHMAH (PJR) di 380 lokasi seluruh Pahang membabitkan 14 parlimen dan 42 DUN yang telah memberi manfaat kepada lebih 450,000 orang dengan rekod jualan melebihi RM26.1 juta.
Ujarnya lagi, Kerajaan Pahang menerusi KPDN turut melaksanakan Program Pendayaupayaan dan Advokasi Kepenggunaan dengan memperkenalkan Hero Pengguna, pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 dan mengadakan aktiviti penguatkuasaan.
Jelasnya, segala peruntukan dan perancangan yang telah disedia dan akan dilaksana pasti akan dapat memajukan, mensejahterakan dan memakmurkan Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

