Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Seramai 19 orang nelayan pantai sekitar daerah Kuantan menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana menerima lesen sampan khas bagi meneruskan usaha mencari rezeki bagi menampung kehidupan seharian.
Lesen berkenaan disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam sebuah majlis ringkas yang diadakan di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, YB Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin serta Pengarah Perikanan Pahang, Encik Abdullah Jaafar.
Dalam pada itu nelayan pantai dari Alor Akar, Encik Sharrir Junaedi Azmi, 37, yang ditemui bersyukur dengan lesen sampan khas yang diterimanya.

“Saya mencari hasil laut di kawasan perairan Balok, saya adalah nelayan tulen yang menyara keluarga termasuk tiga orang anak yang bersekolah dengan hasil laut yang diperoleh setiap hari.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana apa (lesen) yang ditunggu sudah dapat, semoga mudahlah saya senang mencari makan kerana pihak penguatkuasa pon tidak ambil tindakan jika ada lesen,” katanya.
Seorang lagi nelayan dari Desa Seberang Sungai Ular, Encik Mohd Narizian Mohd Napes, 43, turut berterima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi lesen khas sampan yang memudahkan urusannya mencari rezeki.

“Saya rasa lebih selamat ketika di laut selepas memiliki lesen ini, maknanya ada ‘cover’ lah kalau bot rosak ke apa ada bantuan lah yang diberikan.
“Terima kasih MB Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang, terima kasih banyak-banyak kerana prihatin terhadap nasib golongan nelayan pantai seperti kami,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan replika cek Kebuniti Madani kepada tiga buah komuniti iaitu Kampung Kempadang, Kampung Sungai Isap dan Taman Beserah Jaya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM63,000.
Antara bantuan-bantuan yang diterima adalah seperti tangki, pam air, ring blower, makanan ikan, benih ikan dan sebagainya. -PAHANGMEDIA

