Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Pantai Hiburan di Rompin bakal dibuka secara rasmi kepada orang ramai selepas lawatan tapak untuk Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan projek selesai.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, kerja-kerja menaiktaraf Pantai Hiburan telah pun selesai pada bulan lepas dan ianya merupakan pusat pelancongan utama di Daerah Rompin dan Negeri Pahang apabila ianya dipilih untuk dinaiktaraf oleh ECERDC.
Justeru, katanya Kerajaan Negeri telah memilih Pantai Hiburan bagi penganjuran program bertaraf antarabangsa iaitu Pahang Ocean Paddle International Challenge atau POPIC sebagai langkah promosi pantai berkenaan kepada pelancong dan luar negara.
“Kerajaan Negeri juga sentiasa menyokong penganjuran program pelancongan lain seperti Rompin Fest oleh Majlis Daerah Rompin (MDR),” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
YB. Cik Leong Yu Man berkata, menerusi penganjuran pelbagai program di Pantai Hiburan akan dapat membantu menjana ekonomi penduduk tempatan melalui perbelanjaan pelancong. – PAHANGMEDIA

