Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun hadapan bagi membantu rakyat khususnya ketika berhadapan sebarang kes kecemasan ataupun situasi tidak terjangka.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara asasnya tabung berkenaan ditubuhkan untuk golongan kumpulan B40 yang memerlukan bantuan bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup serta membiayai penyakit kronik.
“Ia diwujudkan sebagai penyelesaian terhadap segala jenis bantuan terutama sekali (kes) yang luar jangka. Mungkin kita boleh bagi kepada mangsa lemas, kebakaran contohnya walaupun dah ada peruntukan tapi bantuan sentiasa perlu ada.
“Bila dah ada peruntukan tetap seperti ini, jadi lebih mudah untuk kita hulurkan bantuan. Ia (tabung) akan lebih kepada hal-hal kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas ucapan Belanjawan Tahun 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, kejadian-kejadian melibatkan kecemasan sebelum ini mendorong kepada penubuhan tabung ini.
“Contohnya kalau ada kematian rakyat negeri ini berlaku di luar negara, jadi mudah kita salurkan bantuan. Kalau tak kena mohon, jadi proses itu lambat.. kita nak percepatkan.
“Rakyat boleh mohon melalui saya, Setiausaha Kerajaan Negeri atau Pegawai Kewangan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan peruntukan yang disediakan,” katanya. -PAHANGMEDIA