BELANJAWAN PAHANG 2024 : KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM38.08 UNTUK BANTUAN PRIHATIN PAHANG
Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang meneruskan pemberian insentif Bantuan Prihatin Pahang pada tahun hadapan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM38.08 juta.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap kemaslahatan rakyat, agenda kebajikan rakyat Pahang sentiasa diberi perhatian dan keutamaan menerusi Bantuan Prihatin Pahang yang merangkumi segenap lapisan masyarakat tanpa mengambil kira umur, kaum, agama dan fahaman politik.
Beliau berkata bagi penerima Kluster Pertama melibatkan pelajar dan anak muda, sebanyak RM20.13 juta pada tahun hadapan.
“Pelajar Tahun 1 akan menerima RM100 seorang, melibatkan 22,000 penerima, dengan jumlah keseluruhan RM2.2 juta; pelajar SPM dan STPM akan menerima RM100 seorang, melibatkan 18,000 calon SPM dan 3,500 calon STPM, melibatkan peruntukan berjumlah RM2.15 juta.
“Pelajar tahfiz akan menerima RM100 seorang, melibatkan 8,800 penerima, dengan jumlah RM880,000; mahasiswa di IPTA, politeknik dan Kolej Komuniti akan menerima RM400 seorang, berbanding RM300 tahun ini, melibatkan 35,464 penerima, dengan jumlah RM14.18 juta.
“Namun begitu, mahasiswa anak-anak Pahang diminta untuk berdaftar dengan Yayasan Pahang dan pemakluman mengenai pendaftaran ini akan disiarkan menerusi media sosial Yayasan Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Pahang Media serta semua media sosial saya sendiri; dan sumbangan untuk mengambil lesen motor kepada anak muda berusia 18 hingga 21 tahun yang akan menerima RM200 seorang, melibatkan 3,600 penerima, dengan jumlah RM720,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata bagi Kluster Kedua melibatkan golongan B40 sebanyak RM4.212 juta manakala Kluster Ketiga melibatkan masyarakat umum pula menerima peruntukan sebanyak RM14.54 juta.
“Kluster Dua, golongan B40 yang terdiri daripada anak yatim di pusat jagaan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang akan menerima RM250 melibatkan 450 penerima dengan jumlah RM112,500; ibu tunggal miskin akan menerima RM200 melibatkan 10,500 penerima dengan jumlah RM2.1 juta; nelayan akan menerima RM200 melibatkan 4,500 penerima dengan jumlah RM900,000; dan petani akan menerima RM200 melibatkan 5,500 penerima dengan jumlah RM1.1 juta.
“Kluster Tiga, masyarakat umum yang terdiri. daripada rumah anak yatim yang berdaftar dengan JKM akan menerima RM10,000 melibatkan 14 buah pusat jagaan dengan jumlah RM140,000; maahad tahfiz akan menerima RM2,000 melibatkan 200 pusat tahfiz dengan jumlah RM400,000; masjid dan surau yang mengadakan solat Jumaat akan menerima RM10,000 melibatkan 700 buah masjid dan surau dengan jumlah RM7 juta.
“Jemaah Haji Pahang akan menerima kenaikan bantuan daripada RM500 kepada RM750 seorang melibatkan 2,000 penerima dengan jumlah RM1.5 juta; mualaf akan menerima RM200 melibatkan 5,000 penerima dengan jumlah RM1 juta; warga emas yang akan menerima subsidi RM3,000 untuk pembedahan katarak mata yang melibatkan 500 penerima dengan jumlah RM1.5 juta; insentif perkahwinan kali pertama sebanyak RM300 kepada 10 ribu pasangan pengantin melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3 juta; dan program Berkhatan Anak Pahang dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk 3,500 penerima,” katanya.
Menurut beliau lagi, bagi Kluster Empat melibatkan pemberian apresiasi dan penghargaan kepada golongan dan entiti melibatkan jumlah kewangan sebanyak RM2.4 juta.
“Persatuan Isteri Tentera (BAKAT) dan Polis (PERKEP) Negeri Pahang yang akan menerima RM60,000 bagi setiap persatuan dengan jumlah sebanyak RM120,000; Pengerusi JPKK, Pengerusi JPKKOA, Tok Batin dan Timbalan Pengerusi JKKR, masing-masing akan menerima RM500 seorang.
“Manakala setiausaha akan menerima RM200 seorang yang melibatkan 2,186 penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.68 juta; dan Majlis Kebajikan Negeri Pahang akan menerima sebanyak RM600,000,” katanya. -PAHANGMEDIA

