Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 22 NOVEMBER 2023 : “Kalau nak menilai, lihatlah pada prestasi (yang dicapai oleh Kerajaan Negeri Pahang),” itu jelas YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pahang yang kukuh membolehkan negeri ini menyalurkan pelbagai bantuan dan meluluskan sumbangan yang diminta bagi memberi manfaat kepada rakyat Pahang.
“…kita nak mentadbir, nak memerintah ini kita kena uruskan Kerajaan Negeri dengan baik, rakyat bagi kepercayaan kepada kita. Jadi kita uruskan dengan baik dan sudah dua tahun kita mendapat kutipan hasil melebihi RM1 bilion, pada tahun lepas dan tahun ini.

“Daripada segi prestasi Kerajaan, angka tidak pernah berbohong. Mana mungkin saya boleh beritahu (jumlah) kutipan hasil Kerajaan Negeri kalau perkara itu tidak betul.
“Tetapi kalau kita nak bagi, macam Cikgu Azmi nak bagi (anugerah) guru cemerlang mesti melihat pada prestasi, mesti melihat pada kualiti, dan Kerajaan Negeri juga berfikir begitu. Apabila rakyat nak menilai Kerajaan, rakyat akan melihat prestasi Kerajaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Majlis Anugerah Kualiti Seri Tahun 2023 SMK Seri Bentong hari ini.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPN), Encik Amzan Abd. Malek; dan Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato Mohammad Shahid Ismail; dan Pengetua SMK Seri Bentong, Encik Azmi Othman.
Beliau berkata kutipan hasil yang berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri Pahang disalurkan melalui Bantuan Prihatin Pahang yang mempunyai pelbagai kluster melibatkan semua peringkat.
“Bila ada lebihan (hasil), kita beri kepada rakyat. Kita bagi bantuan kepada ibu yang melahirkan anak kita bagi RM300; kahwin kali pertama kita bagi RM300; bagi mereka yang menunaikan haji tahun ini kita bagi RM500.
“Rumah Rakyat Pahang kita bagi setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) lapan buah rumah dengan setiap satu bernilai RM75,000 yang diberi secara percuma. Ini adalah fakta,” katanya.
Beliau dalam majlis yang sama turut meluluskan bantuan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM20,000 kepada pihak SMK Seri Bentong, dan RM50,000 bagi aktiviti sekolah.
Beliau turut menyampaikan anugerah kepada 151 penerima melibatkan 107 pelajar; 38 guru; dan masing-masing tiga orang bagi anggota kumpulan pelaksana dan pekerja yang mempamerkan prestasi cemerlang. -PAHANGMEDIA

