Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 22 NOVEMBER 2023 : “Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana banyak sangat membantu saya,” ujar Encik Ahmad Zakuan Mohd Zabidi, 37, penerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang.
Encik Ahmad Zakuan berkata, sumbangan yang diberikan ini dapat membantu rawatan bagi anaknya, Ahmad Uzair Umar, 9, yang menghidap penyakit luekemia.

“Sumbangan untuk anak yang menghidap pesakit diagnos untuk ALL (Acute lymphoblastic leukemia) yang didiagnos pada Februari 2022 dan sekarang ini dia (anak) dalam proses untuk rawatan susulan.
“Dia dah buat bone marrow transplant dia pada bulan November tahun lepas. Sekarang untuk cek darah, ambil vaksin,” katanya dari Taman Chegar Medang, di sini.
Sementara itu, bagi Encik Wadi Hadad Tok Muda Zulkefly, dari Taman Intan, Temerloh berkata sumbangan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang hari ini dapat meringankan perbelanjaan dan rawatan ibunya yang menghidap penyakit hati yang kronik.

“Ibu saya, Nor Esah Mohd Taib, 75, yang telah setahun menghidap penyakit kronik, hati dia dah rosak, jadi sekarang dia dah tak boleh nak banyak bergerak.
“Saya mewakili ibu saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang memberi sumbangan Kerajaan Negeri yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga kami,” katanya.
Bagi penerima sumbangan, Puan Shariah Ali, 67, dari Kampung Chemomoi, melahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang disifatkan prihatin.

“Saya sakit kanser rahim dah dekat setahun dah. Rasa gembira dapat bantuan ni, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya yang merupakan ibu tunggal dan tidak bekerja.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada 18 penerima dengan jumlah sebanyak RM290,820.60 di Majlis Perbandaran Bentong hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang selepas itu turut menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kluster Persatuan Isteri Tentera (BAKAT) sebanyak RM10,000 setiap persatuan BAKATA 4 Briged (Mekanize); BAKAT Udara Pengkalan Udara Kuantan; BAKAT Laut Markas Wilayah Laut 1; BAKAT Udara Sekolah Latihan Tempur TUDM Bukit Ibam; dan BAKAT Markas Angkatan Bersama.
Beliau turut melancarkan BPP Kluster Nelayan 2023 sebanyak RM900,000 melibatkan 4,500 penerima di mana setiap penerima akan menerima RM200 seorang. – PAHANGMEDIA

