Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
PEKAN, 11 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memerlukan sumber modal insan berkualiti bagi membangunkan negeri ini dari segi fizikal serta ekonomi.
Wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata penganjuran karnival bertemakan Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pendidikan Sains, Teknologi, Inovasi serta Matematik (STEM) penting bagi memperkasakan bidang ini dalam kalangan anak muda.
“…negara kita perlu melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang TVET dan STEM yang diintegrasikan dalam bidang pendidikan negara di peringkat pengajian tinggi mahupun di peringkat permulaan pendidikan tertieri.

“Justeru, inisiatif yang diambil dalam penganjuran karnival bertemakan TVET dan STEM ini amat penting untuk mengarusperdanakan bidang tersebut dalam kalangan anak-anak sekolah, para belia dan komuniti setempat.
“Kita ingin menyaksikan impak yang terhasil mampu memberi kesan kepada proses pembangunan negara dan negeri Pahang ini secara khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Minggu Sains Negara Tahun 2023 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan hari ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; dan Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat UMPSA, Ybhg. Professor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Beliau berkata Negeri Pahang kini sedang bergerak pada landasan yang tepat dalam menuju sebagai sebuah negeri yang maju dalam pelbagai aspek berdasarkan kelebihan yang dimiliki.
“Daripada sudut pembangunan fizikal dan ekonomi, negeri ini menunjukkan peningkatan yang amat signifikan. Oleh itu bagi menyokong perkembangan yang sedang berlaku ini, kita amat memerlukan sumber modal insan yang berkualiti daripada anak-anak muda pada hari ini bagi merealisasikan kemajuan yang disasarkan.
“The Science of Today is the Technology of Tomorrow, itulah harapan kita untuk menyaksikan pembudayaan yang sedang kita usahakan pada ketika in menjadi penyumbang kepada kemajuan pada masa akan datang,” katanya.
Karnival dengan tema STEAM Transformasi Generasi Madani ini mengetengahkan 3 domain pengisian iaitu Pengisian Pentas; Pengisian Reruai Pameran; dan Pengisian Demonstrasi dan Pengalaman di mana setiap domain pengisian mempunyai objektif dan tarikan yang memberi fokus untuk pengunjung merasai pengalaman dan aktiviti interaktif dalam memberi pendedahan berkenaan STEM dan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). -PAHANGMEDIA

