Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 10 NOVEMBER 2023 : Golongan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan khususnya dalam pemberian bantuan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi memastikan sokongan dan galakan dapat diberikan kepada mereka dalam pengembangan ilmu serta kemahiran.
Bagi siswa Kolej Yayasan Pahang (KYP), Muhammad Syafiq Sabri, 20, yang berasal dari Pos Telanuk menyifatkan bantuan ini dapat meringankan bebanan pelajar sepanjang pengajian.

Selama hampir dua tahun mengikuti pengajian di KYP, dia mengakui banyak perbelanjaan diperlukan terutama kegunaan harian.
Justeru Muhammad Syafin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang menyediakan insentif kepada golongan siswa dan siswi.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan siswa untuk kami semua, terima kasih YAB MB,” katanya.
Manakala siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Wan Zhafrina Wan Shohaimi, 24, dia yang kini berada di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan sangat terharu kerana masih mendapat bantuan BPP Kluster Siswa/Siswi.

“Saya rasa gembiralah sebab masih layak untuk mendapat bantuan. Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana beri bantuan kepada semua pelajar, memang satu penghargaan lah untuk pelajar minta bantuan supaya boleh beli barang keperluan belajar,” katanya.
Kesemua mereka telah menerima BPP Kluster Siswa/Siswi daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa / Siswi Dan Kluster Pertanian Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di Lipis.
Hadir sama ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Pada majlis itu seramai 171 siswa dan siswi bagi DUN Cameron Highlands membabitkan peruntukan RM51,300 manakala 170 penerima telah menerima bantuan BPP Kluster Pertanian berjumlah RM34,000.
Turut menerima sumbangan ialah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Kuala Lipis berjumlah RM30,000 dan sebuah motosikal telah diberikan kepada Kopral Hamidun Haji Kamis.
Selain itu, seramai 25 orang telah menerima cek sumbangan Kerajaan Pahang melibatkan peruntukan berjumlah RM152,330 manakala seramai 13 pengerusi JPKK Jelai telah menerima sumbangan RM10,000 bagi setiap JPKK dengan kos keseluruhan RM130,000.
Pada majlis sama, dua peserta gantian Agropolitan Gahai turut menerima surat tawaran dan kunci rumah bagi projek berkenaan. – PAHANGMEDIA

