Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 6 NOVEMBER 2023 : Program Eco Schools di Malaysia hasil usahasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Green Growth Asia Foundation (GGAF) dilihat dapat menjadi inisiatif yang berkesan bagi merancakkan kelestarian alam semulajadi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyifatkan program ini penting bagi ekosistem pendidikan Malaysia dalam usaha meningkatkan kadar kesedaran anak-anak muda terhadap alam sekitar khususnya pelajar-pelajar sekolah.
“Saya dimaklumkan sudah bermula program ini beberapa tahun yang lalu, saya juga dimaklum program ini telah diiktiraf atas inisiatif pihak GGAF, diiktiraf oleh pihak United Nations, ini merupakan satu pengiktirafan yang begitu tinggi dan terulung dilaksanakan oleh GGAF untuk seluruh dunia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Eco-Schools Malaysia & GEP Roadmap 2030 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Penaung Diraja Eco Schools Negeri Pahang, Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Lim Hui Ying; serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, baginda turut bertitah agar aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem flora dan fauna juga perlu diambil kira dan tidak dipandang enteng walaupun hasilnya hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa tahun dan bukan dalam sekelip mata.
“Saya ingin menyarankan pihak kerajaan mesti ada satu program untuk monitor secara wajib khususnya di Pahang ini untuk program-program memulihkan alam sekitar, memelihara habitat haiwan di hutan, ada satu monitoring di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.
“Program ini harus berjaya, failure is not an option, titah saya ini perlu diambil kira secara serius, saya berharap program ini berjaya dan menjadi model di Malaysia untuk dijadikan contoh di peringkat dunia,” tegas baginda. – PAHANGMEDIA

