Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 6 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang mengutamakan kebajikan rakyat khususnya aspek kesihatan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya Program Gerak Sihat Pahang, Program Berkhatan Anak Pahang dan Program Cakna Suri Tambahan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan juga turut menyediakan empat klinik bersalin di kawasan luar bandar iaitu Pulau Tioman, Felda Selancar, Chendor dan Merapoh dengan kos RM8 juta.
“Program Gerak Sihat Pahang ini telah memperuntukan RM600,000, malah kerajaan juga memperluaskan program pemfloridaan bekalan air awam di loji-loji rawatan air bagi menjamin bekalan air bersih.
“Malah Program Berkhatan Anak Pahang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dengan melibatkan seramai 3,500 anak lelaki golongan B40 dengan peruntukan RM1 juta dan saringan HPV DNA beserta ujian Mamogram percuma untuk 6000 wanita dari kalangan B40 dan M40 turut dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelan Jalinan Mesra Kesihatan Bersama Rakyat Negeri Pahang Sempena Sambutan Ulangtahun Ke-20 Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.
Hadir sama ialah Reaktor UIAM, YBhg Profesor Emiratus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.
Kulliyyah ini telah mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Pahang bagi menubuhkan Klinik Bergerak iaitu ‘Klinik Bergerak Si Elly’ dalam memberikan capaian perkhidmatan kesihatan premier bersepadu kepada rakyat Pahang khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak, komuniti rentan, asnaf, B40, Orang Asli, isi rumah yang jauh di pedalaman dan lain-lain di seluruh negeri ini.
Dalam perkembangan lain, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang juga telah melancarkan Program Pahang Pride Kasih iaitu inisiatif memberi Kad Kesihatan kepada warga emas golongan B40 bagi mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta dan dapat dimanfaatkan oleh 30,600 warga emas termasuk 15,067 Orang Kurang Upaya (OKU) dengan peruntukan lebih RM20 juta.
Beliau berkata, terbukti inisiatif Kerajaan Pahang antara terbaik di dalam negara demi menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat. – PAHANGMEDIA

