Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 20 OKTOBER 2023 : Rapid Kuantan bakal melaksanakan perkhidmatan tambang tanpa tunai iaitu melalui penggunaan Kad Touch N Go berkuatkuasa 1 November ini manakala Kad Konsesi khas untuk warga emas, OKU, serta pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi akan bermula pada Disember depan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, selain daripada melancarkan aktiviti seharian, ianya merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha untuk meringankan beban rakyat di negeri ini.
“Pelajar universiti dan kolej juga akan terus menikmati tambang separuh harga, ini satu usaha Kerajaan Negeri Pahang untuk meringankan beban mereka, Kad Konsesi tambang separuh harga boleh digunakan pada Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan dan taklimat bersama Ketua Wilayah Timur Rapid Bas Kuantan, Encik Sarifudin Saidin, yang turut dihadiri oleh Ketua Unit Rangkaian dan Perancangan Bas Rapid, Encik Shahrul Anis dan Encik Firdaus Ibrahim; serta Eksekutif Operasi Rapid Kuantan, Encik Kamarul Azhar di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Lipis, semalam.
Dalam satu kenyataannya di laman rasmi Facebooknya, beliau turut membincangkan mengenai laluan baru (T201) laluan di Pusat Bandar (Kuantan City Loop) sekitar Bandaraya Kuantan yang menghubungkan destinasi utama (POI) di bandar dengan kekerapan masa bas antara 10 minit ke 15 minit untuk setiap trip menggunakan empat buah bas.
“Semua laluan baru Kuantan City Loop telah saya cadangkan dalam perbincangan pertama bersama Rapid Kuantan pada Mac lalu bagi mengelakkan kesesakan dalam Bandaraya Kuantan, mudahkan rakyat untuk ke destinasi utama dan penting serta memastikan Bas Rapid sentiada ada untuk rakyat, Alhamdulillah Rapid Bas Kuantan bersetuju dan ia akan dilaksanakan bermula 1 November ini”, katanya.
Sehubungan dengan itu, Rapid Kuantan akan mempamerkan panel kod imbas QR di semua laluan Bas Rapid Kuantan dan Pekan bagi memudahkan pengguna untuk mengimbas bagi mendapatkan maklumat mengenai laluan lokasi bas di situ.
Disamping itu juga, beliau turut mengusulkan subsidi tambang percuma kepada rakyat yang kurang berkemampuan untuk menggunakan perkhidmatan Bas Rapid yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pahang.
“Keadaan bus stop dan tambang percuma kepada rakyat miskin ini akan saya bawa ke perhatian YAB Menteri Besar Pahang dan dibentangkan dalam mesyuarat Exco untuk dipertimbangkan,” ujarnya.
Beliau juga meminta agar Rapid Kuantan melaporkan mengenai keadaan terkini hentian bas Rapid Kuantan dan Pekan selain mengusulkan contoh hentian bas yang lebih efisien untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. – PAHANGMEDIA

