Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 1 OKTOBER 2023 : Kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBS) menganjurkan Karnival Sukan Pahang sebagai inisiatif untuk memastikan tahap kesihatan masyarakat berada pada tahap yang baik.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjuran program tersebut dilihat dapat menarik masyarakat untuk sentiasa bergiat aktif dalam aktiviti sukan.
“Kita nak menggalakkan masyarakat untuk terlibat aktif dalam aktiviti sukan demi kesihatan tubuh badan mereka, hari ini saya bersama dengan Jabatan Belia Sukan (JBS) Negeri Pahang nak bagi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan melalui pelaksanaan aktiviti sukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Sukan Rakyat yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Shafie, di sini hari ini.
Beliau dalam majlis sama turut merasmikan karnival tersebut yang dihadiri oleh penduduk kampung dari sekitar kawasan Pelangai
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan 1, YB Dato’ Sri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; serta pemimpin setempat.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap karnival sukan yang berlangsung selama tiga hari itu dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan terutamanya golongan muda.
“Sebenarnya mesej ini saya sebar luas di seluruh Negeri Pahang melalui program-program sebegini menyedarkan masyarakat supaya bersukan untuk kecerdasan tubuh badan dan otak,” katanya.-PAHANGMEDIA

