Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 28 SEPTEMBER 2023 : Sokongan terhadap calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai, YH. Dato’ Amizar Abu Adam telah melebihi 60 peratus setakat ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata peratusan ini dapat ditingkatkan lagi menjelang hari pengundian pada 7 Oktober nanti.
“Sokongan terhadap calon kita ini pada peringkat permulaan sudah melebihi 50 peratus dan sekarang ini saya tidak ada analisa tepat tapi daripada pengamatan saya, pemerhatian saya, percakapan saya jumpa orang dan sebagainya sekarang ini sudah melebihi 60 peratus sokongan terhadap calon kita.
“Dan ini akan dapat ditingkatkan lagi. Saya ucapkan terima kasih kepada jentera-jentera parti daripada seluruh negeri Pahang dan juga jentera parti daripada bahagian Bentong termasuk calon sendiri yang bekerja kuat memberi penerangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gotong-royong Rumah Kelab Daya Budi di Kilang Sawit Felda Kemasul hari ini.
Menurut beliau, Dato’ Amizar terpaksa menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya memandangkan pihak pembangkang tidak dapat melawan menggunakan prestasi Kerajaan Negeri sebagai modal.
“Ini kerana kita terpaksa counter balik. Seperti mana yang saya katakan, mereka tidak melawan kita daripada segi prestasi Kerajaan Negeri jadi mereka menimbulkan persepsi, sentimen untuk melawan dengan prestasi,” katanya. -PAHANGMEDIA

