Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 27 SEPTEMBER 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail meminta penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang supaya dapat memanfaatkan peruntukan yang diberikan sebaik mungkin.
Jelasnya, sumbangan dan bantuan berjumlah RM1.1 juta kepada 48 penerima itu dapat diberikan kerana terdapat lebihan kewangan negeri sehingga dapat berkongsi hasil bersama rakyat.
“Alhamdulillah saya berpesan kepada mereka supaya menggunakan sebaik mungkin peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini dan kita boleh memberi bantuan ini kerana kedudukan kewangan Kerajaan Negeri baik dan ada lebihan, kalau sekiranya kewangan negeri tidak baik, kita tidak mungkin memberi mereka bantuan seperti mana yang kita luluskan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada 48 penerima berjumlah RM1.1 juta di Majlis Perbandaran Bentong di Bentong.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri turut menyampaikan cek sumbangan kepada beberapa masjid, surau dan PERKIM bagi menjalankan pelbagai program keagamaan, ceramah dan kerja-kerja baikpulih masjid bagi memastikan keselesaan kepada jemaah.
Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan institusi keagamaan khususnya agama Islam di negeri ini daripada menerima sebarang bantuan sebaliknya menjadi keutamaan dan agenda utama di Pahang. – PAHANGMEDIA

